Sunday

Hari Sindrom Down Sedunia


****Mungkin ramai diantara kita tidak tahu akan ada satu hari yang indah bagi mereka ini, SERIBU WAJAH****

Hari Sindrom Down Sedunia yang diraikan pada 21 Mac setiap tahun. Uniknya, tarikh tersebut diambil bersempena nama lain bagi sindrom tersebut iaitu trisomy 21 ('tiga' set kromosom ke-21).


Hari Sindrom Down Sedunia

Oleh Profesor Madya Dr. Sharifah Zainiyah Syed Yahya
Presiden Persatuan Sindrom Down Malaysia

BUAT kali ketiga, penduduk di Malaysia dan seluruh dunia bakal menyambut Hari Sindrom Down Sedunia yang diraikan pada 21 Mac setiap tahun. Uniknya, tarikh tersebut diambil bersempena nama lain bagi sindrom tersebut iaitu trisomy 21 ('tiga' set kromosom ke-21).

Sambutan tahun ini juga penuh bermakna bagi Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM), yang kini berusia lapan tahun, dan ahli-ahli dengan Sindrom Down yang bakal menikmati kualiti pendidikan yang lebih baik melalui Program Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP) di sekolah-sekolah aliran perdana.

PKBP bakal dilaksanakan melalui Pelan Tindakan, Program Peningkatan Kualiti Pendidikan Murid Sindrom Down, yang telah dibentangkan Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia kepada Ahli Majlis PSDM dan lapan ahli-ahli gabungannya dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Terengganu dan Sarawak dalam satu mesyuarat pada 2 Mac lalu.

Kandungan pelan tindakan tersebut telah dibangunkan bersama oleh pegawai-pegawai dari Bahagian Pendidikan Khas dan Ahli Majlis PSDM sendiri pada 2008.

Sememangnya kami di Persatuan Sindrom Down Malaysia serta semua ibubapa kepada anak-anak dengan Sindrom Down di seluruh Malaysia amat berterima kasih kepada semua pihak yang bertanggungjawab dan berusaha keras dalam memberi peluang pendidikan dan latihan kepada murid-murid dengan Sindrom Down di seluruh negara melalui inisiatif murni ini.

Seikhlas hati kami berpendapat pegawai-pegawai di Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia amat prihatin dan percaya kesemua golongan sasar akan diberi peluang yang saksama untuk menikmati dan menyertai sistem pendidikan negara.

Ini dilihat hasil inisiatif bahagian berkenaan membina perhubungan pintar dengan pelbagai agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti PSDM.

Melalui pelan tindakan tersebut, diharapkan kanak-kanak dengan Sindrom Down di seluruh negara kini dapat menikmati peningkatan kualiti dalam sistem penyampaian pendidikan khas.

Ini seterusnya membolehkan kanak-kanak ini menikmati kualiti hidup yang lebih baik kelak kerana pendidikan akan mengubah nasib serta masa depan seseorang individu, tidak kira sama ada mereka kurang upaya ataupun tidak.

Dengan itu, marilah kita meraikan Hari Sindrom Down Sedunia 2009 pada 21 Mac ini dengan penuh kesyukuran dan harapan untuk masa depan anak-anak yang lebih cerah dan terbela.




0 Comments: