Monday

Sukan Kebangsaan OKU JKMM







Bersenam kuatkan sendi


KITA memang mudah alpa dan bersikap sambil lewa untuk menjaga sesuatu yang kita tidak nampak seperti sendi. Biasanya kita hanya akan mula memberi perhatian kepada sendi apabila terasa sakit untuk bergerak.

Inilah masalah yang kerap dihadapi kebanyakan orang, terutama individu pertengahan umur. Paling menyeksakan ialah apabila sakit lutut hingga menghalang pergerakan. Orang kerap melabelkan sakit sendi atau osteoartritis (yang berlaku akibat proses penuaan semula jadi) sebagai perkara biasa di kalangan orang tua.

Sebenarnya, tanggapan ini kurang tepat. Memang kehausan pada sendi akibat peningkatan usia adalah proses semula jadi, tetapi sebenarnya melalui amalan hidup sihat, kita boleh mengelak masalah seperti ini dan menjalani kehidupan hari tua dengan baik.

Antara cara mudah mengekalkan kesihatan sendi ialah mengamalkan gaya hidup aktif dan kerap bersenam, termasuk berbasikal mengelilingi kawasan perumahan. Berbasikal adalah senaman lebih ringan dan tidak memberi banyak tekanan kepada sendi berbanding berjalan, berlari atau melakukan senaman aerobik.

Bagi kebanyakan orang tidak kira usia, berbasikal boleh menjadi senaman menyeronokkan, di samping membantu menguatkan sendi tanpa disedari.

Malah, ia antara senaman terbaik bagi mereka yang mengalami masalah sakit sendi dan tulang kerana dapat mengelakkan masalah kesakitan setiap kali melangkah.

Jika tidak gemarkan aktiviti luar, anda boleh bersenam menggunakan mesin basikal. Melalui cara ini anda dapat bersenam sambil menikmati rancangan kegemaran di televisyen.

Cuba anda hitung berapa jam sehari anda duduk terpaku depan televisyen tanpa melakukan apa-apa yang mendatangkan manfaat kepada kesihatan.

Jika ini boleh dilakukan, tentu tiada masalah untuk berbasikal selama 15 hingga 30 minit sehari di depan televisyen. Anda mungkin tidak sedar, anda sebenarnya mendapat empat keuntungan dalam satu masa kerana bukan saja dapat mengikuti rancangan kegemaran, malah boleh mengurangkan risiko sakit jantung, menguatkan sendi dan memantapkan betis.

Terlalu lama duduk di depan komputer tanpa rehat sebenarnya boleh membawa keburukan. Hanya selepas habis kerja baru kita sedar banyak sendi terasa tegang dan sakit. Ini tandanya anda perlu berehat dengan melakukan senaman sekurang-kurangnya menggerak dan meregangkan sendi.

Jika terus memaksa diri untuk bekerja, ia boleh menyebabkan anda mengalami beberapa komplikasi seperti kekejangan otot, terseliuh atau osteoartritis. Sebaliknya, bangun dan mulakan senaman ringkas ini.

Walaupun hanya sekejap, aktiviti meregangkan otot boleh mengelakkan masalah sendi kaku dan anda berasa lebih selesa, fleksibel dan cergas. Pelajar di China mengamalkan aktiviti meregangkan otot di antara waktu belajar. Ia cara baik untuk merehatkan badan dan melegakan ketegangan sendi.

Pakar kecergasan menyarankan kita menjalankan senaman meregangkan otot selama 30 minit dua hingga tiga kali seminggu. Lebih baik jika ia dapat dilakukan setiap hari, terutama individu yang tidak banyak bergerak ketika bekerja.

Kebanyakan kes ketegangan otot berpunca daripada kehidupan tidak aktif. Kajian ke atas 1,000 orang dewasa yang mendaftar ke kelas selama 25 tahun mendapati kadar kehilangan keanjalan sendi adalah sifar, iaitu mereka tidak mengalami masalah sakit sendi.

Selain itu, berenang adalah senaman terbaik yang tidak memberi tekanan kepada kaki kerana air menampung berat badan anda. Malah, air juga dapat mengelakkan anda melakukan pergerakan mengejut atau mendadak yang boleh mencederakan otot. Justeru, ia sesuai bagi individu dewasa yang mengalami masalah sakit sendi.

Namun, senaman paling mudah dan murah ialah naik tangga, sama ada di tempat kerja atau rumah. Kesannya sama seperti berbasikal dan berenang.

Malah, ia juga boleh menjadi penentu terhadap kesihatan jantung anda.

Jika anda berasa mengah dan sesak nafas selepas naik tangga untuk satu tingkat, bermakna jantung anda kurang sihat. Jika dibiarkan (dan terus tidak bersenam), anda berisiko mendapat masalah jantung.

0 Comments: