Monday

Salam perkenalan








Salam perkenalan dari kami warga kerja PDK Mutiara WP Labuan


Nama : Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)Mutiara WP Labuan
Alamat : Lot 6, Taman Lazenda Villa 5,
Jalan Pohon Batu,
87000 WP Labuan

Objektif

Merangsang se awal mungkin kanak-kanak istimewa untuk perkembangan menyeluruh dari segi

a) Perkembangan motor kasar

b) Perkembangan motor halus

c) Perkembangan personel sosial

d) Perkembangan bahasa dan kognitif

Melatih kanak-kanak keperluan khas berdikari untuk memenuhi keperluannya mencapai keupayaan masing-masing

Menyedarkan keluarga dan masyarakat kepentingan pemulihan awal kanak-kanak tersebut

Persediaan awal kanak-kanak istimewa untuk di integerasikan kepada masyarakat

KEISTIMEWAAN OKU

Sebagai ibu bapa, anda perlu peka dengan kemudahan dan keistimewaan yang disediakan untuk anak anda. Kerajaan sentiasa prihatin pada mereka yang digolongkan dalam golongan istimewa bagi membantu meringankan masalah mereka selaras dengan Wawasan 2020 yang ingin mewujudkan masyarakat penyayang. Anda perlu berkunjung ke Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berhampiran dengan anda bagi mendapatkan maklumat bagi masa depan anak anda. Sebagai permulaan, anda perlu mendaftarkan anak anda dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Tujuan pendaftaran adalah membantu jabatan mengumpul data dan statistik.

Anda perlu dapatkan Borang Pemeriksaan Doktor daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sekiranya anda ingin membuat pemeriksaan bagi anak istimewa yang sudah dewasa, borang tambahan akan diberikan.

Anda juga perlu berkunjung ke Jabatan Pelajaran Negeri yang berhampiran dan dapatkan Borang Pendaftaran dan Cadangan Penempatan Kanak-kanak Keperluan Khas (0 hingga 18 tahun). Tujuannya adalah mendaftarkan anak anda ke sekolah kerajaan dan menempatkannya di sekolah atau program yang sesuai untuknya. Borang itu boleh juga didapati di sekolah-sekolah yang mempunyai program pendidikan khas ataupun di sekolah pendidikan khas yang berhampiran.

Anda hendaklah berkunjung ke hospital dan membawa anak anda bagi membuat pemeriksaan bersama:

-Borang Pemeriksaan Doktor
-Borang Pendaftaran dan Cadangan Penempatan Kanak-kanak Keperluan Khas

PENDAFTARAN DI JABATAN PELAJARAN

Selepas pakar perubatan mengesahkan anak anda termasuk dalam golongan istimewa, anda perlu membawa Borang Pendaftaran dan Cadangan Penempatan Kanak-Kanak Keperluan Khas ke Jabatan Pelajaran Negeri yang berhampiran.

Jabatan Pelajaran negeri akan:

-Mengambil maklumat tentang pendaftaran anak anda bagi tujuan penempatan persekolahannya.

-Dapatkan surat penempatan ke sekolah atau program yang berhampiran dengan tempat tinggal anda.

-Sekiranya anak anda didaftarkan sebelum berumur 5 tahun, tuan atau puan akan dihubungi oleh pihak Jabatan Pelajaran Negeri bagi cadangan penempatan semasa anak anda berumur 5 tahun.
Sekiranya tidak dihubungi selepas anak anda berumur 5 tahun, sila berhubung dengan Unit Pendidikan Khas di Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing.

Dapatkan juga maklumat bagi kemasukan ke program prasekolah pendidikan khas untuk anak anda yang berusia 4+ hingga 6 tahun sebelum ke program di sekolah rendah.

PENDAFTARAN DI JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT

Anda perlu membawa anak anda ke JKM bersama:

-Borang Pemeriksaan Doktor dan salinan fotostatnya yang sudah lengkap diisi oleh pakar perubatan.

-2 salinan fotostat Kad Pengenalan atau Sijil Kelahiran bagi yang belum mempunyai Kad Pengenalan.

-3 keping gambar anak anda berukuran saiz kad pengenalan.

Sekiranya anda tidak menerima kad itu dalam tempoh 3 bulan dari tarikh mendaftar di JKM, sila hubungi mereka bagi mendapatkan maklumat. Anak anda akan diberikan Kad Kenal Diri yang merupakan tanda pengenalan yang dikeluarkan kepada OKU (Orang Kurang Upaya) yang berdaftar bagi memudahkan mereka berurusan dengan pihak-pihak yang tertentu.

Terdapat lima jenis kategori Kad Kenal Diri yang terdiri daripada:
1.Masalah Pendengaran
2.Masalah Penglihatan
3.Masalah Anggota
4.Masalah Akal
5.Masalah Pembelajaran

KEMUDAHAN YANG DISEDIAKAN OLEH KERAJAAN

Selepas anda mendaftarkan diri dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, anak berhak menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan. Antara kemudahan yang disediakan adalah:

1.Pengecualian Bayaran Rawatan Perubatan

OKU dikecualikan daripada bayaran wad kelas tiga, bayaran pakar dan ubat-ubatan.

2.Kemudahan Pelepasan atau Pengecualian Cukai

Pelepasan atau pengecualian cukai bagi ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya di bawah umur 18 tahun.

Potongan cukai kepada pembayar cukai yang membeli peralatan khas bagi kegunaan diri, anak ataupun ibu bapa kurang upaya.

Potongan cukai kepada majikan-majikan yang mengambil atau menawarkan pekerja kurang upaya.
Pelepasan tambahan untuk OKU sendiri dan isteri ataupun suaminya.

3.Kemudahan Alat Ganti atau Alatan Sokongan Tiruan

Kerajaan memberi pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas semua peralatan yang direka khas untuk kegunaan OKU.

4.Kemudahan Peluang Pekerjaan

Komitmen kerajaan bagi membuka peluang pekerjaan kepada golongan kurang upaya, melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 10/1988, iaitu 1 peratus peluang pekerjaan di sektor awam diperuntukkan kepada golongan kurang upaya. Jabatan Tenaga Kerja menyediakan perkhidmatan pendaftaran peluang pekerjaan kepada golongan kurang upaya yang berminat mahu bekerja di sektor swasta.

5.Kemudahan Membeli Kenderaan Nasional

Pengecualian cukai jualan sebanyak 50 peratus ke atas pembelian kereta ataupun motosikal nasional bagi OKU yang boleh memandu. Setiap permohonan boleh dimajukan terus kepada Kementerian Kewangan dengan disertakan salinan dokumen berikut:

a.Kad Pengenalan Diri OKU
b.Kad Pengenalan
c.Lesen Memandu yang sah
d.Maklumat Kenderaan seperti model, nombor, enjin nombor Chasis dan lain-lain.

6.Kemudahan Telekom

Syarikat Telekom Malaysia menyediakan insentif atau kemudahan kepada golongan OKU seperti berikut:

a.Pengecualian Bayaran Sewa Bulanan.
b.Panggilan 103 (operator) dikecualikan caj.
c.Menyediakan panggilan menunggu atau panggilan pindahan.d.Boleh memohon talian Streamyx 512Kb (unlimited) pada kadar RM45 sahaja setiap bulan.

7.Pengecualian Bayaran Dokumen Perjalanan

Jabatan Imigresen mengecualikan bayaran kos ke atas perkhidmatan menyediakan dan memproses dokumen perjalanan (Pasport Antarabangsa) kepada golongan kurang upaya.

8.Kemudahan Pendidikan

Kementerian Pendidikan di bawah Jabatan Pendidikan Khas menyediakan sekolah khas, sekolah vokasional, program khas dan kelas inklusif kepada anak-anak istimewa. Kerajaan juga mengecualikan bayaran pendaftaran kemasukan pelajar istimewa yang mengikuti latihan kemahiran di institusi-institusi pengajian di bawah kelolaan kementerian pendidikan. Pelajar turut diberi elaun sebanyak RM300.00 sebulan.

9.Kemudahan Aktiviti Harian

Jabatan Kebajikan Masyarakat mengambil inisiatif dan memainkan peranan dalam menggalakkan berbagai kemudahan bagi membolehkan orang kurang upaya bergerak bebas. Salah satu daripada pencapaiannya adalah penubuhan Jawatankuasa Teknikal yang Urusetianya ialah SIRIM telah merangka ‘Kod Amalan Akses Bagi Orang Kurang Upaya ke Bangunan Awam’ yang menghasilkan pindaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 berkaitan dengan kehendak-kehendak bangunan untuk orang kurang upaya yang mewajibkan bangunan baru mempunyai akses kepada orang kurang upaya.

10.Kemudahan Pengangkutan Awam

Syarikat pengangkutan digalakkan memberi tambang konsisi kepada orang kurang upaya. Sistem Penerbangan Malaysia memberi tambang murah 50 peratus bagi penerbangan dalam negeri. Keretapi Tanah Melayu memberi tambang konsesi 50 peratus bagi semua perjalanan untuk semua kelas. Syarikat bas yang besar memberi konsesi 50 peratus daripada harga tambang dan PUTRA-LRT juga memberi konsesi tambang kepada golongan ini.

11.Kemudahan Perumahan

Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL) juga menyediakan kemudahan kepada orang kurang upaya bagi menyewa rumah kos rendah atau rumah pangsa dengan memberi pengurangan kadar sewa kepada orang kurang upaya.

12.Pencen Terbitan

Pencen terbitan ialah pencen yang berhak diperoleh oleh anak anda selepas anda meninggal dunia sekiranya anda berkhidmat dengan kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (Bahagian Pencen). Anda dikehendaki menyediakan tiga pucuk surat iaitu:

a.Surat daripada pakar perubatan.
b.Surat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat
c.Surat daripada pihak sekolah tempat anak anda belajar.
d.Surat pengesahan majikan anda.

Anda perlu menulis sepucuk surat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dan kembarkan keempat-empat surat di atas berserta dengan salinan kad pengenalan anak anda dan salinan kad kebajikan. Surat anda bolehlah dikemukakan kepada:

Pengarah
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Blok C 1-2, Parcel C
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 Putrajaya

BANTUAN YANG DISEDIAKAN OLEH JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT

Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menyediakan beberapa bantuan kepada insan istimewa:

a.Elaun pekerja cacat

Elaun sebanyak RM200 sebulan ini diberikan sebagai insentif untuk menggalakkan OKU terus bekerja tanpa bergantung kepada ahli keluarga atau orang lain di samping menampung kehidupan mereka. Bagi melayakkan anda menerima bantuan ini, anda dikehendaki:

a.mengalami kecacatan yang disahkan oleh pakar perubatan.
b.Berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat
c.Berusia antara 18 hingga 55 tahun
d.Mempunyai pekerjaan
e.Mempunyai pendapatan kurang daripada RM 700.00.
b.Bantuan Alat Tiruan atau Otortik atau Ortopedik

Bantuan ini bertujuan membantu OKU membeli peralatan tiruan dan peralatan sokongan atau dikenali assistive devices seperti kerusi roda, kaliper, anggota tiruan dan lain-lain peralatan khas yang tidak mampu dibeli. Tujuan bantuan ini adalah membantu insan istimewa supaya lebih produktif dan boleh hidup berdikari. Dengan adanya alat ini, mereka dapat bergerak dengan lebih pantas dan boleh menjalankan tugas harian dengan lebih cekap.

Mereka juga boleh mendapat faedah dengan menerima pelajaran, latihan vokasional dan mencari nafkah tanpa bergantung kepada orang lain. Alat-alat tiruan yang diberikan ini termasuk kaki palsu, kerusi roda, tongkat dan sebagainya.

c.Perkhidmatan Penempatan

Perkhidmatan penempatan terdapat di setiap negeri bagi membantu orang-orang yang terlatih mendapatkan pekerjaan sama ada di pasaran terbuka ataupun di bengkel terlindung bagi mereka yang tidak berkemampuan bertanding di pasaran terbuka. Antara contoh bengkel terlindung ialah Bengkel Daya Klang, Bengkel Daya Sg. Petani dan bengkel-bengkel yang diuruskan oleh pertubuhan sukarela. Dapatkan maklumat daripada JKM.

d.Geran Pelancaran

Geran ini bertujuan membantu OKU yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran tetapi tidak cukup ataupun tidak mempunyai modal daripada kewangan dan peralatan bagi menjalankan projek jaya diri atau perniagaan kecil atau pertanian. Skim bantuan ini melatih golongan istimewa bekerja sendiri bagi memudahkan mereka membelikan alatan yang diperlukan bagi membolehkan mereka hidup berdikari. Kadar bantuan minimum yang diberikan adalah sebanyak RM 500 dan maksimum RM 2,000.00.

e.Organisasi Penjualan

Sebagai galakan pada perkhidmatan yang dilakukan oleh golongan istimewa, adalah dengan cara membantu mereka sama ada yang bekerja di rumah atau di pusat. Kaedahnya ialah dengan cara membeli dan mendapatkan bahan mentah bagi mereka yang bekerja di rumah dan juga memasarkan barangan yang telah siap. Program ini khas dilancarkan bagi golongan istimewa yang tidak mampu bertanding di pasaran terbuka kerana kurang kemahiran, pergerakan terhad dan sebagainya.

f.Latihan Kemahiran Vokasional

Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi –Kursus peringkat persijilan dan mendapat pengiktirafan MLVK ini ditawarkan kepada OKU yang berumur 18 hingga 40 tahun berkelulusan sekurang-kurangnya PMR atau setaraf dengannya dan boleh berdikari. Kursus yang ditawarkan seperti komputer dan kesetiausahaan, jahitan dan rekaan fesyen, unit membuat alat tiruan, penyenggaraan komputer, pendawaian letrik, elektronik, bengkel roti dan kek, fotografi dan kelas memandu.

g.Kemasukan ke Institusi Pemulihan (Taman Sinar Harapan)

Latihan pemulihan diberikan kepada individu OKU kategori terencat akal sehingga ke tahap sempurna mengikut kemampuan dan kebolehan masing-masing. Pusat itu juga memberi perlindungan dan jagaan kepada OKU yang mengalami kecacatan yang teruk. Aktiviti yang dijalankan seperti latihan pemulihan kehidupan harian, latihan pra-vokasional, kelas akademik tidak formal, pendidikan agama atau moral, sukan dan rekreasi dan aktiviti luar.

h.Pemulihan dalam Komuniti (PDK)

PDK adalah satu strategi dalam pembangunan komuniti untuk golongan OKU menjalani pemulihan dalam keluarga dan masyarakat sendiri. PDK memberi peluang kepada OKU untuk menjalani pemulihan, mengecapi peluang yang sama rata dan berinteraksi dengan masyarakat. Aktiviti yang dijalankan adalah kemahiran motor kasar, kemahiran motor halus, perkembangan bahasa dan sosial, pengurusan diri, pra 3M, kreativiti, sukan dan rekreasi

PERKHIDMATAN YANG DISEDIAKAN OLEH KEMENTERIAN KESIHATAN

Kementerian Kesihatan menyediakan perkhidmatan untuk anak-anak istimewa seperti berikut:

-Penilaian awal (Multidiscipline team)
-Pemulihan Cara kerja
-Pemulihan Anggota (Fisioterapi)
-Pemulihan Pertuturan
-Pemulihan Pendengaran
-Rawatan Susulan
-Penilaian Pemakanan (Dietition)
-Rawatan Psikologi ( kanak-kanak ataupun remaja)

PEKHIDMATAN YANG DITAWARKAN OLEH JABATAN TENAGA KERJA

Perkhidmatan berikut ditawarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja untuk golongan istimewa:

-Melaksanakan program promosi atau penggalakan penggajian Orang Kurang Upaya di Sektor Swasta

-Membantu mendapatkan pekerjaan di sektor swasta

-Menguatkuasakan Akta Kerja 1955 iaitu menerima aduan dan menyelesaikan aduan berkaitan pekerjaan

BADAN BUKAN KERAJAAN atau NGO

Badan Bukan Kerajaan atau NGO adalah badan bukan kerajaan yang terlibat secara langsung dengan badan kebajikan di seluruh Malaysia. Anak anda digalakkan mendaftarkan diri sebagai ahli badan bukan kerajaan dan mengikuti aktiviti yang dijalankan oleh mereka. Mereka boleh bergaul dengan anak-anak yang lain dan anda boleh mengambil kesempatan ini supaya beramah mesra dengan ibu bapa yang mengalami masalah yang sama. Antara perkhidmatan yang ditawarkan oleh NGO adalah:

-Menyediakan Pusat Harian dan Pusat Latihan
-Pemulihan dalam komuniti
-Program Intervensi Awal
-Mult disiplin aktiviti di komuniti
-Pendidikan atau latihan untuk berdikari
-Bimbingan dan sokongan melalui Laman Web
-Kumpulan sokongan atau Kumpulan Ibu bapa
-Bahasa Isyarat
-Pengajaran Braille
-Kaunseling
-Kelab Sosial
-Pusat Sumber
-Rujukan

Dipetik daripada: Bab 2, buku Anak Istimewa,K. A. Razhiyah


0 Comments: